Jam Delta sudah 10.30 malam. Alfa punya jam sudah kehilangan bateri. Siapatah yang curi. Elit lah sangat kalau begitu.
Kelas-kelas semakin kosong; Alfa, Beta, Delta-kelas-kelas elit, kata para cikgu. Gamma, Theta, Epsilon, Omega, Zeta, Sigma, Iota juga semakin kurangan. Namun lampu kelas masih bernyala. Ada juga yang tidak keluar minum malam di Dewan Makan. Yang ada pergi pun, lapan minit sudah kembali ke kelas.
"Hari ini bihun dawai. Minum sahaja. Gelas pun masih bersabun."
Keseluruhannya ke surau kemudian, solat Isya' berjamaah. Kelas kembali penuh, tidak tipu-90%. Senyap, rajin menelaah.
Bunyi siren yang membingit telinga kedengaran, jauh dari rumah Ustaz Farid.
"Light off! Light off!"
Kelas-kelas wajib menggelap. Sudah 11.30 rupanya. Semua kembali ke asrama. Koridor utama ke asrama sesak. Jarang sebegitu, kalau sianglah.
Lampu-lampu kelas, kamar, semua dipadam.
Macam mana ni?
Ambil meja, 2 3 buah, bawa masuk ke pantry. Studi. Ada lampu yang dibiar menyala di situ. Sendat, dengan baldi-baldi, tuala-tuala dan pakaian yang bersidaian tidak sistematik, langsung! Hapak, agak. Tapi Buku Rujukan Kimia Sasbadi lebih penting. Biologi Fajar Bakti semakin menebal, kembang sebab selalu dibuka. Kalkulator saintifik pun ada?
Surau juga penuh, bahagian solat wanita. Maaf, tiada wanita di sini. Semua jejaka. Studi. Sungguh-sungguh sekali. Ada juga yang bersolat hajat, mengaji al-Quran, meYasin. Alhamdulillah.
Lampu-lampu yang bercahaya sungguh signifikan kebaikannya. Diperlukan sampai 3.00 pagi, mungkin lebih.
Minggu depan, SPM 2004.