bingkisan silam yang utuh dan membara, buat masa kini yang muda dan keliru [02]
3 responses Publisher: fakulito Timestamped at: 1:00 AMPejam mata.
Andaikan tangan kita dicengkam erat oleh dua pengawal, memaksa kita terjun ke lembah neraka Jahim.
Ada alasankah kita nak beri pada mereka untuk kita ke syurga, dan bukannya neraka?
Fikir sebentar; apakah alasan yang sesuai ya?
"Err... aku solat fardhu cukup, bayar zakat, buat baik pada semua orang... . Boleh masuk syurga tak?"
Ingatlah, akan sangat ramai orang Islam dari umat Adam hingga umat akhir zaman macam kita yang boleh bagi alasan-alasan macam di atas. Agak-agak, signifikankah alasan kita itu untuk melayakkan kita ke syurga?
Adalah tidak layak untuk rasa layak ke syurga kalau kita tak pernah jumpa pun rahsia mudah ke syurga dalam al-Quran.
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? ..." [al-Baqarah: ayat ...?]Nak tahu ayat berapa dan sambungan ayat tersebut? Bukalah tafsir al-Quran. =)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bermula suatu coretan tinta
Jika dinilai dari aspek kebersihan Jakarta ini, aku bagi 1 bintang dari 10 bintang kerana di sini kotornya udara dan persekitaran yang tidak sihat sudah sebati dengan rakyatnya. Seperti yang kita sedia maklum, kedar kemiskinan di sini sangatlah tinggi. Masih bersepah-sepah dan bertebaran kawasan setinggan di sekitar kota Jakarta ini. Bukan itu sahaja, masih ramai juga yang tidak mempunyai tempat tinggal dan masih merempat di tepi jalan meminta sedekah. Jika dibandingkan dengan Malaysia, boleh dikatakan Malaysia 10 tahun ke hadapan dari Indonesia dari segi pemikiran rakyatnya. Bukan bermaksud rakyat Indonesia ini tidak pandai, tetapi kesedaran tentang kebersihan dan ilmu itu masih kurang.
Namun, di sebalik kontradiksi Indonesia ini terdapat juga pro nya. Rakyat Indonesia ini rata-rata memiliki kekreatifan yang tinggi dalam senibina bangunan, dalam penghasilan filem dan bahkan juga dikenal sebagai lembah untuk belajar ilmu agama Islam di Asia Tenggara ini.
Antara aktiviti menarik yang sempat aku nikmati selain dari sambutan hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di Kedutaan Malaysia setiap tahun ialah ke menjelajah Bogor, Bandung, Jogjakarta dan InsyaAllah akan merancang ke Bali selepas ini. Bagi penggemar fesyen dan suka membeli belah seperti aku, datanglah ke Jakarta kerana Jakarta sangat terkenal dengan shopping mall yang besar-besar persis di Dubai. Tidak cukup dengan itu, mall yang ada di sini sampai tidak dapat dikira dengan jari kerana terlalu banyak. Barang-barang yang dijual juga berpatutan dan menepati citarasa anda. Memang dunia shoppinglah kt Jakarta ni!!
University Of Trisakti, Jakarta
University Of Trisakti adalah sebuah institusi pengajian tinggi bertaraf Antarabangsa yang mana mendapat jolokan universiti swasta nombor 1 di seluruh Indonesia. Universiti ini banyak melahirkan doktor-doktor yang berjaya dan kompeten. Walaupun terdapat beberapa pensyarah yang tidak profesional dari segi sikap dan etika, namun sistem pendidikan yang diserapkan di sini banyak membantu melahirkan doktor yang berani menghadapi cabaran dalam di masa akan datang nanti.
Kesimpulannya, belajar di sini membantu kita menghadapi segala situasi tidak kira sama ada kita di kota, di desa ataupun di lautan sekalipun. Tambahan pula, pensyarah di sini selalu berkongsi pengalaman mereka bersama pelajar. Mereka juga tidak kedekut memberi tunjuk ajar dan menegur kesilapan yang kita lakukan. Itulah yang menarik di Indonesia.
Pahit yang merakam seribu pengalaman
Pada awalnya kami dipindahkan ke wisma Malaysia tetapi memandangkan wisma Malaysia yang kecil dan tidak dapat memuatkan terlalu ramai orang, aku ambil keputusan untuk tinggal di rumah rakan-rakanku yang terletak di kawasan tanah tinggi. Banjir besar ini telah membuatkan aku kelihatan sangat selekeh. Tambahan pula banjir ini mengundang penyakit leptospirosis yang mana dapat meragut nyawa jika tidak ditangani dengan cepat dan tepat. Mujurlah aku tidak dijangkiti dengan penyakit itu dan hanya menghidap diarrhoea.
Pesanan
Coretan Kenangan
Info:
- Mohd Yusof Bin Azman
- 2nd Batch 03-04
- 4 Theta /5 Zeta
Labels: saser sedunia

Tatkala seseorang itu telah meninggalkan sesuatu jawatannya, sudah pasti akan ada yang mengganti. Bak kata pepatah, yang patah tumbuh hilang berganti. Selepas kepimpinan cemerlang Tuan Haji Mohamad Kamaludin dibawa bersama beliau ke SAS, kepimpinan yang tiada tolok bandingan dibawa pula oleh pengganti beliau.
Kami warga bekas-bekas pelajar SASER mahupun pelajar-pelajar SASER sekarang mengalu-alukan kedatangan Encik Sabuddin untuk terus mentadbir SASER menjadi yang terbaik di kalangan terbaik.
bingkisan silam yang utuh dan membara, buat masa kini yang muda dan keliru [01]
6 responses Publisher: fakulito Timestamped at: 10:02 PM
"Mereka pembohong besar! Kalau rempah yang mereka cari, kenapa tidak ke India sahaja?"
"Ada pihak yang cuba memesongkan fakta yang sepatutnya kita tahu!"
Lintasan-lintasan hati yang mengetahui hakikat sebenar meraung-raung untuk menzahirkan apa yang sepatutnya diketahui umum. Fakta sejarah yang dipelajari di sekolah telah berjaya menarik mata hati kita bersama para sejarawan tanahair yang sememangnya telah taksub meneliti sejarah melalui kaca mata Barat.
"Kerana aku tahu Melaka pernah menjadi Serambi Makkah dek hebatnya Tanah Melayu sebagai pusat ketamadunan Islam serantau. Dan pastinya Melaka memang tunduk kepada Empayar Turki Uthmaniyah pada tika itu."
"Andai Portugis datang ke Melaka semata-mata kerana kemewahan rempah-ratus yang dimiliki Melaka, tidak perlu membawa bersama kapal-kapal tentera yang sarat dengan senjata! Tidak pelu juga mencampuri urusan istana!"
Yang pastinya, kapal-kapal tentera besar kiriman Empayar Uthmaniyah melalui Kerajaan Islam Acheh karam di pertengahan jalan sebelum sempat membantu Kerajaan Islam Melaka.
"Kita, bangsa Eropah telah berjaya merobek Jajahan Islam Uthmaniyah yang paling timur. Acheh pasti kan menjadi sasaran seterusnya. Kembangkan Kristiniasi kita! Perang Salib tidak akan berakhir!"
Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Di kesempatan ini saya ingin menulis tentang isu Palestin. Sebelum saya mengolah dengan lebih mendalam, izinkan saya menyeru kepada rakan-rakan sekalian agar kita tidak menyempitkan pemikiran kita dengan melihat isu ini sebagai isu keagamaan sahaja. Isu ini bolehlah dilihat sebagai suatu isu sejagat dan keamanan sedunia. Saya mengerti dah faham dengan sensitiviti sesetengah pihak di dalam hal ini.
Rakan-rakan sekalian. Mengapakah Isu Palestin ini tidak pernah luput ditelan zaman? Mengapakah bangsa Yahudi dan rakyat Palestin masih lagi berbunuh-bunuhan? Untuk menyelami masalah ini adalah lebih wajar rasanya jika kita menyelak jendela sejarah terlebih dahulu.
Palestin dikatakan telah wujud sejak zaman paleolitik lagi dan sejak dari itu bumi Palestin telah dipimpin oleh berbagai-bagai kuasa besar dunia. Namun pergolakan Palestin dikaitkan dengan perbalahan diantara orang Islam dan orang Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat umumnya. Menurut sejarah, bangsa Israel bukanlah bangsa pertama di bumi Palestin. Bumi Palestin pada asalnya didiami oleh bangsa canaan sehinggalah mereka ditewaskan oleh puak Hebrew pada tahun 14 sebelum masihi. Dan selepas itu palestin bertukar tangan dari satu kuasa ke kuasa lain. Kaum Yahudi kemudiannya banyak yang telah berhijrah ke Eropah dan serata dunia.
Persoalannya. Mengapakah orang Islam (terutamanya rakyat Palestin) dan orang Israel begitu beria-ria mahu merebut negara Palestin ini? Tanah Palestin mempunyai keistimewaan jika dibanding dengan daerah lain kerana merupakan tempat diturunkannya semua agama Samawi, tempat di mana peradaban kuno muncul, menjadi jambatan aktiviti komersial dan tempat penyusupan ekspedisi ketenteraan di sepanjang era bersejarah yang berbeza. Lokasi strategik yang dinikmati Palestin memungkinkannya untuk menjadi faktor penghubung antara berbagai benua bagi dunia kuno Asia, Afrika dan Eropah.
Bagi masyarakat Islam khususnya rakyat Palestin, Palestin merupakan salah satu dari lambang keagamaan kita mereka. Ini kerana Masjid al-Aqsa di bumi Palestin merupakan kiblat pertama umat Islam sebelum kiblat umat Islam beralih arah ke Masjidil Haram di Mekah. Di samping, itu Palestin juga merupakan tempat persinggahan Nabi Muhammad S.A.W sebelum baginda meneruskan perjalanan ke langit melalui peristiwa Israk dan Mikraj.
Bagi bangsa Israel pula bumi Palestin dikaitkan dengan Haikal Sulaiman (Kuil Sulaiman) dan kaum Israel menganggap bumi Palestin yang lebih dikenali sebagai Eretz Yisrael, dalam bahasa Hebrew sebagai tanah suci mereka sejak zaman Nabi Ibrahim (Abraham), Nabi Ishak (Isaac) dan cucu baginda Nabi Yaakub (Jacob - 12 puak Israel berasal dari anak-anak Nabi Yaakub). Menurut kitab Taurat, Palestin merupakan tanah yang telah dijanjikan kepada mereka .
Zionism, pertubuhan kebangsaan Yahudi ditubuhkan pada 1897 sebagai tindak balas terhadap semangat anti-semitism yang merebak di Russia dan Eropah. Pergerakan ini bermatlamat untuk mewujudkan negara bangsa Israel di bumi Palestin. Selepas kejatuhan empayar Uthmaniah, Palestin diperintah oleh Negara British. Ketika inilah melalui perjanjian Deklarasi Balfour yang mengatakan bahawa kerajaan British menyokong sepenuhnya penubuhan Negara Israel di bumi Palestin. Cadangan ini mendapat tentangan keras dari Negara-negara Arab dan lantaran itu terjadinya beberapa siri tentangan secara fizikal dan menyebabkan keadaan menjadi tegang. Negara Arab dan rakyat Yahudi masing-masing menyalahkan kerajaan British dan ini menyebabkan kerajaan British tertekan lalu mereka menyerahkan isu ini kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Pada tahun 1947 PBB telah meluluskan cadangan pihak Amerika yang mahu memecahkan Palestin kepada 2 bahagian. Satu untuk puak Yahudi dan satu untuk orang Palestin yang telah lama bermastautin di situ sejak zaman pemerintahan khalifah Umar lagi. Ia memaksa negara-negara kecil ke dalam perjanjian untuk memberikan 55 peratus daripada Palestin kepada penetap Yahudi, yang hanya merupakan 30 peratus daripada penduduk Palestin. Ini menyebabkan Negara-negara Arab melancarkan peperangan yang diberi nama "SIX DAYS WAR" pada Jun 1967. Ini menyebabkan kekalahan di pihak Arab dan membolehkan Israel merampas Tebing Barat dari Jordan dan Semenanjung Gaza dari Mesir.
Bermula dari kejadian inilah adanya penentangan demi penentangan dari rakyat Arab dan Palestin yang telah menduduki Semenanjung Gaza dan Tebing Barat untuk membebaskan wilayah mereka dari cengkaman Israel yang secara terang-terangan menindas mereka. Israel diasaskan melalui ‘pembersihan bangsa’ apabila seramai 750,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah mereka. Mereka terpaksa merempat di Negara sendiri di kem –kem pelarian dan dinafikan hak-hak mereka Rakan-rakan sekalian. Apabila berbicara tentang palestin, kita bukan sahaja berbicara tentang isu keagamaan. Tetapi kita juga berbicara tentang isu hak rakyat palestin di semenanjung gaza dan tebing barat yang ditindas, dibunuh oleh Israel yang menjajah kawasan tersebut. Sedangkan khalifah Umar ketika menjajah Palestin tidak menumpahkan setitik darah malahan puak Yahudi diberi kebebasan sebebas-bebasnya.
Berbagai-bagai penindasan yang dilakukan oleh puak Yahudi yang secara terang lagi bersuluh mahu menghalau terus penduduk Palestin dari tanah air mereka agar perluasan tanah yahudi dapat dilakukan. Penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin telah berlaku dalam tempoh yang amat panjang dan berlarutan. Banyak sebab mereka bangkit menentang kezaliman Yahudi Zionis. Di antara sebab-sebab penentangan Palestin termasuklah polisi zalim rejim Zionis di situ. Yahudi meruntuhkan rumah-rumah mereka, melakukan penangkapan dan pengusiran orang-orang Palestin yang tidak bersalah dari bumi Palestin serta tindakan memperluaskan kawasan pendatang haram Yahudi.Peningkatan serangan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh ekstremis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian kiblat pertama umat Islam di dalam rangka mereka meyahudikan Baitulmaqdis. Lorong-lorong rahsia di bawah masjid al-Aqsa juga digali dengan alasan mahu mencari tinggalan kuil sulaiman. Ini menimbulkan kemarahan umat islam yang bimbang dengan kerja-kerja penggalian yang dijalankan mampu merosakkan struktur majlis yang suci itu.
Sekatan ekonomi yang dirancang secara rapi oleh Zionis menyebabkan orang-orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai di kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan. Gaji sejam purata bagi seorang Yahudi adalah 33 peratus lebih tinggi daripada gaji seorang Arab. Kebanyakan kampung Palestin tidak mempunyai bekalan air atau elektrik, dan rakyat Palestin dikecualikan daripada kebanyakan pekerjaan. Sebahagian besar daripada pihak Zionis melihat rakyat Palestin dan Arab sebagai makhluk yang lebih lemah. Menachem Begin, perdana menteri Yahudi pada tahun 1980-an, pernah menghuraikan rakyat Palestin sebagai “binatang berkaki dua.
Ramai di kalangan kanak-kanak palestin yang telah dinafikan hak mereka untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah adalah dari peratusan yang sangat kecil. Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 km di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana . ‘Tembok Besar Berlin’ ini seolah-olah mahu memenjarakan penduduk palestin yang tidak bersalah. Rakyat Palestin merasa begitu terdesak dan tidak lagi meletakkan harapan kepada usaha dan perjanjian damai yang diatur oleh negara-negara Arab. Ini kerana perjanjian demi perjanjian yang dilakukan tidak mendatangkan hasil. Nyata rakyat palestin telah berputus asa dengan Negara arab.Bahkan mereka merasakan betapa perlunya satu inisiatif dilaksanakan sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Sedarlah rakan-rakan bahawa penindasan ini merupakan penindasan hak rakyat palestin secara menyeluruh. Saya pasti mana-mana agama mahupun sesiapa sahaja yang faham dengan konsep hak individu terhadap tanah air mereka pasti mengutuk keras tindakan kebinatangan ini.
Rakan-rakan sekalian. Ada yang mempertikaikan masyarakat Palestin juga turut melakukan serangan pengeboman terhadap Israel termasuk pengeboman berani mati. Tetapi mereka melakukannya kerana terdesak dan sudah tidak tahan ditindas dan dirampas hak mereka. Kebanyakan dari mereka hanya mampu berjuang menentang Yahudi dengan batu-batu sedangkan puak Yahudi lengkap berkereta kebal, helikopter dan tentera mereka mempunyai kelengkapan yang canggih. Kerana tentera mereka lebih lengkap dan majulah beberapa siri penyembelihan rakyat Palestin sering berlaku. Antaranya penyembelihan Sabra dan Shatila pada 1982 yang mengorbankan sebanyak 700-800 orang Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila. Tentera Yahudi membunuh sekurang-kurangnya 300 penduduk Palestin di Deir Yassin pada bulan April 1948. Kumpulan-kumpulan bersenjata menggunakan pembunuhan ini untuk memaksa beribu-ribu rakyat Palestin yang lain untuk melarikan diri dari rumah-rumah mereka. Peristiwa di kem pelarian Nablus juga melihatkan 512 orang rakyat palestin terbunuh dan 3,104 tercedera berikutan penyembelihan yang dilakukan oleh tentera Yahudi. Berbagai-bagai penyembelihan terhadap orang awam yang tidak berdosa telah dilakukan oleh puak Yahudi dengan alasan mahu membalas dendam di atas serangan balas pejuang pembebasan Palestin. Sedangkan tujuan utama mereka adalah semata-mata mahu menghalau rakyat Palestin dari kem pelarian dan rumah mereka agar perluasan tanah mereka dapat dilakukan.
Di atas dasar perikemanusiaanlah berpuluh-puluh badan bukan kerajaan ditubuhkan bagi membantu masyarakat Palestin di serata dunia. Antara badan bukan kerajaan yang ditubuhkan di Malaysia bagi membantu masyarakat palestin adalah Aman Palestin Malaysia. Badan ini berfungsi bagi mengutip dana dan menyalurkannya kepada pihak palestin. Selaras dengan mendokong agenda kemanusiaan sejagat, Kelab Umno Korea melalui Biro Politik dan Hubungan Antarabangsanya telah menganjurkan program Aman Palestin di Korea Selatan. Mereka telah menjemput penceramah dari Aman Palestin Malaysia untuk menerangkan tentang keadaan sebenar di palestin lantas memberikan info dan maklumat yang tepat kepada para pelajar di sini. Kedatangan ustad Sobri Awang telah sedikit sebanyak membuka minda dan mata para pelajar di korea selatan ini tentang masalah sebenar yang melanda Negara Palestin.
Persoalannya. Apakah tugas kita sebagai seorang pelajar? Apakah yang mampu kita lakukan selaku seorang pelajar yang terbatas dari segi waktu, kewangan dan sebagainya. Pertama-tamanya saya menyeru kepada semua agar membuka minda dan melapangkan dada untuk memahami masalah masyarakat Palestin dari semua aspek tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak. Sesuatu kejadian yang berlaku hendaklah diteliti, difahami sebab dan akibatnya dengan adil tanpa berpihak kepada bias kepada sesuatu pihak sahaja. Kita juga mempunyai kemampuan untuk membaca dan menjustifikasi segala rentetan peristiwa dan masalah yang melanda masyarakat palestin khususnya. Perbincangan secara ilmiah bolehlah dilakukan dikalangan kita dan janganlah berdebat menggunakan emosi semata-mata tetapi sertakanlah ia dengan kebijaksanaan kita selaku seorang pelajar tajaan di luar negara.
Bagi yang ingin melibatkan diri dengan lebih mendalam lagi, anda boleh menyertai pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar di negara kita yang berkaitan dengan Palestin. Anda bolehlah menyumbangkan segala keringat dan buah fikiran di dalam membantu masyarakat palestin yang dilihat sering tertindas dan dinafikan hak mereka amnya. Persatuan pelajar di sini juga bolehlah mengorak langkah untuk lebih mengglobalkan pemikiran ahlinya dengan mendedahkan kepada mereka dengan isu-isu antarabangsa seperti ini. Apa gunanya menjadi graduan di Negara asing andainya takut membuka minda, meluaskan mata dan menglokal diri? Fikir-fikirkanlah
Memandangkan blog ini sudah mula berhabuk dan bersawang, maka aku kongsikan sedikit tips pengurusan stress yang aku ambil daripada blog aku sendiri, CoReTaN PeNa BiRu.
Stress merupakan suatu respon terhadap minda yang berupa tekanan yang disebabkan oleh pelbagai faktor sama ada luaran mahupun dalaman. Contoh faktor luaran adalah seperti bebanan kerja, pinjaman bank yang tertunggak, peperiksaan dan juga persekitaran sekeliling. Faktor dalaman pula merangkumi perkara yang timbul daripada fikiran diri sendiri. Contohnya memikirkan secara serius tentang kekurangan diri, tidak percaya pada kebolehan diri dan sebagainya. Perkara-perkara seperti inilah yang biasanya mengakibatkan stress.
Awas! Jika stress ini gagal diuruskan dengan baik, ia mampu memudaratkan diri. Kes-kes seperti histeria, kemurungan dan yang lebih teruk, bunuh diri boleh terjadi seandainya individu terbabit gagal mengawal stress yang di alaminya. Coretan kali ini penulis ingin berkongsi serba sedikit teknik-teknik yang mampu untuk mengurangkan stress:
1. Nikmati Keindahan Alam
Seandainya anda seorang yang terlalu sibuk bekerja atau pun belajar, luangkan sedikit masa untuk menghayati keindahan alam ciptaan Ilahi. Pergilah berkelah bersama keluarga atau pun rakan-rakan di tempat-tempat yang bebas dari kesibukan kota dan kerja. Berkelah di taman rekreasi, air terjun, pantai dan sebagainya mampu menenangkan jiwa yang sedang kuat dirundung masalah. Deruan air yang mengalir, desiran ombak menghempas ke pantai dan nyanyian unggas-unggas sememangnya mendamaikan jiwa.
2. Tidur Sejenak
Tidur sejenak dalam lingkungan masa 30-45 minit mampu menyegarkan tubuh dan minda untuk kembali bekerja. Gunakan sebahagian waktu rehat anda untuk melelapkan mata buat seketika agar tubuh kembali segar apabila kembali bekerja. Jangan terlalu memaksa diri jika tahu bahawa anda sememangnya kepenatan. Tidurlah sejenak kerana sesungguhnya ia tidak membazirkan masa anda bahkan memberi pulangan kualiti kerja yang lebih baik apabila anda terjaga nanti.
3. Kerap Ketawa
Tidak perlu disangkal lagi ketawa mampu mengurangkan stress yang membelenggu diri. Luangkan masa seketika bersenda gurau bersama rakan sekerja mahupun teman belajar seandainya anda berasa tertekan. Ketawa mampu meregangkan otot-otot di muka dan melupakan seketika masalah yang melanda. Namun, awas! Jangan terlalu banyak ketawa kerana segala hafalan anda boleh hilang entah ke mana.
4. Realistik
Jangan terlalu meletakkan satu bebanan yang terlalu tinggi pada diri. Tidak salah untuk mensasarkan sesuatu yang tinggi untuk memotivasikan diri tetapi jangan sampai sasaran yang dibuat terlalu tinggi untuk digapai sehingga memakan diri. Jadilah seorang yang realistik dengan meletakkan tahap-tahap tertentu untuk dicapai. Lebih baik mencapai sasaran sedikit demi sedikit berbanding meletakkan sasaran yang terlalu tinggi dan akhirnya entah ke mana.
5. Positifkan Pemikiran
Muhasabah diri sendiri dan teliti kembali apa kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri. Setiap kelebihan yang ada digilap agar potensi diri dapat ditonjolkan. Jangan jadikan kelemahan diri sebagai sebab untuk bersedih. Kenal pasti kelemahan dan atasilah dengan bijak. Lebih baik jika kelemahan yang ada dimanipulasi sehingga menjadi kekuatan pada diri.
6. Bersukan
Pepatah ada mengatakan minda yang cerdas lahir dari badan yang cergas. Maka, turunlah bersukan. Jangan suka memerapkan diri didalam bilik dihadapan komputer, nota dan sebagainya. Menyepak bola contohnya, mampu untuk mengalihkan tekanan yang dialami kepada suatu objek dengan sihat. Bukannya dengan cara melakukan vandalisme, memukul dan sebagainya. Jika tiada rakan untuk bermain, cukuplah sekadar berjoging di sekitar taman untuk mengeluarkan peluh.
7. Alunan Muzik
Muzik-muzik yang bersifat sentimental dan lembut berupaya memberi ketenangan kepada minda. Dengarlah lagu-lagu yang memberi ketenangan seperti muzik mohram, kitaro, nasyid, balada, klasik dan sebagainya. Elakkan mendengar muzik-muzik yang keras seperti heavy metal, punk dan sebagainya kerana ia bukannya menenangkan tetapi sebaliknya merosakkan jiwa.
8. Ekspresi Dirimu
Sesetengah individu tidak berupaya menangani masalahnya sendiri. Individu ini biasanya memerlukan sesorang untuk mendengar segala luahan hatinya. Bukan respon yang diperlukan tetapi hanya sebagai teman untuk mendengar masalah dirinya. Andai anda tergolong di dalam golongan seperti ini, carilah rakan yang benar-benar anda percayai untuk mendengar masalah anda. Sekiranya tiada, gunalah khidmat kaunselor untuk membantu anda.
p/s: Jika anda mempunyai cara tersendiri untuk mengurangkan stress, tinggalkan komen anda untuk dikongsi bersama-sama dengan para pembaca yang lain.
Labels: Tips