Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Di kesempatan ini saya ingin menulis tentang isu Palestin. Sebelum saya mengolah dengan lebih mendalam, izinkan saya menyeru kepada rakan-rakan sekalian agar kita tidak menyempitkan pemikiran kita dengan melihat isu ini sebagai isu keagamaan sahaja. Isu ini bolehlah dilihat sebagai suatu isu sejagat dan keamanan sedunia. Saya mengerti dah faham dengan sensitiviti sesetengah pihak di dalam hal ini.
Rakan-rakan sekalian. Mengapakah Isu Palestin ini tidak pernah luput ditelan zaman? Mengapakah bangsa Yahudi dan rakyat Palestin masih lagi berbunuh-bunuhan? Untuk menyelami masalah ini adalah lebih wajar rasanya jika kita menyelak jendela sejarah terlebih dahulu.
Palestin dikatakan telah wujud sejak zaman paleolitik lagi dan sejak dari itu bumi Palestin telah dipimpin oleh berbagai-bagai kuasa besar dunia. Namun pergolakan Palestin dikaitkan dengan perbalahan diantara orang Islam dan orang Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat umumnya. Menurut sejarah, bangsa Israel bukanlah bangsa pertama di bumi Palestin. Bumi Palestin pada asalnya didiami oleh bangsa canaan sehinggalah mereka ditewaskan oleh puak Hebrew pada tahun 14 sebelum masihi. Dan selepas itu palestin bertukar tangan dari satu kuasa ke kuasa lain. Kaum Yahudi kemudiannya banyak yang telah berhijrah ke Eropah dan serata dunia.
Persoalannya. Mengapakah orang Islam (terutamanya rakyat Palestin) dan orang Israel begitu beria-ria mahu merebut negara Palestin ini? Tanah Palestin mempunyai keistimewaan jika dibanding dengan daerah lain kerana merupakan tempat diturunkannya semua agama Samawi, tempat di mana peradaban kuno muncul, menjadi jambatan aktiviti komersial dan tempat penyusupan ekspedisi ketenteraan di sepanjang era bersejarah yang berbeza. Lokasi strategik yang dinikmati Palestin memungkinkannya untuk menjadi faktor penghubung antara berbagai benua bagi dunia kuno Asia, Afrika dan Eropah.
Bagi masyarakat Islam khususnya rakyat Palestin, Palestin merupakan salah satu dari lambang keagamaan kita mereka. Ini kerana Masjid al-Aqsa di bumi Palestin merupakan kiblat pertama umat Islam sebelum kiblat umat Islam beralih arah ke Masjidil Haram di Mekah. Di samping, itu Palestin juga merupakan tempat persinggahan Nabi Muhammad S.A.W sebelum baginda meneruskan perjalanan ke langit melalui peristiwa Israk dan Mikraj.
Bagi bangsa Israel pula bumi Palestin dikaitkan dengan Haikal Sulaiman (Kuil Sulaiman) dan kaum Israel menganggap bumi Palestin yang lebih dikenali sebagai Eretz Yisrael, dalam bahasa Hebrew sebagai tanah suci mereka sejak zaman Nabi Ibrahim (Abraham), Nabi Ishak (Isaac) dan cucu baginda Nabi Yaakub (Jacob - 12 puak Israel berasal dari anak-anak Nabi Yaakub). Menurut kitab Taurat, Palestin merupakan tanah yang telah dijanjikan kepada mereka .
Zionism, pertubuhan kebangsaan Yahudi ditubuhkan pada 1897 sebagai tindak balas terhadap semangat anti-semitism yang merebak di Russia dan Eropah. Pergerakan ini bermatlamat untuk mewujudkan negara bangsa Israel di bumi Palestin. Selepas kejatuhan empayar Uthmaniah, Palestin diperintah oleh Negara British. Ketika inilah melalui perjanjian Deklarasi Balfour yang mengatakan bahawa kerajaan British menyokong sepenuhnya penubuhan Negara Israel di bumi Palestin. Cadangan ini mendapat tentangan keras dari Negara-negara Arab dan lantaran itu terjadinya beberapa siri tentangan secara fizikal dan menyebabkan keadaan menjadi tegang. Negara Arab dan rakyat Yahudi masing-masing menyalahkan kerajaan British dan ini menyebabkan kerajaan British tertekan lalu mereka menyerahkan isu ini kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Pada tahun 1947 PBB telah meluluskan cadangan pihak Amerika yang mahu memecahkan Palestin kepada 2 bahagian. Satu untuk puak Yahudi dan satu untuk orang Palestin yang telah lama bermastautin di situ sejak zaman pemerintahan khalifah Umar lagi. Ia memaksa negara-negara kecil ke dalam perjanjian untuk memberikan 55 peratus daripada Palestin kepada penetap Yahudi, yang hanya merupakan 30 peratus daripada penduduk Palestin. Ini menyebabkan Negara-negara Arab melancarkan peperangan yang diberi nama "SIX DAYS WAR" pada Jun 1967. Ini menyebabkan kekalahan di pihak Arab dan membolehkan Israel merampas Tebing Barat dari Jordan dan Semenanjung Gaza dari Mesir.
Bermula dari kejadian inilah adanya penentangan demi penentangan dari rakyat Arab dan Palestin yang telah menduduki Semenanjung Gaza dan Tebing Barat untuk membebaskan wilayah mereka dari cengkaman Israel yang secara terang-terangan menindas mereka. Israel diasaskan melalui ‘pembersihan bangsa’ apabila seramai 750,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah mereka. Mereka terpaksa merempat di Negara sendiri di kem –kem pelarian dan dinafikan hak-hak mereka Rakan-rakan sekalian. Apabila berbicara tentang palestin, kita bukan sahaja berbicara tentang isu keagamaan. Tetapi kita juga berbicara tentang isu hak rakyat palestin di semenanjung gaza dan tebing barat yang ditindas, dibunuh oleh Israel yang menjajah kawasan tersebut. Sedangkan khalifah Umar ketika menjajah Palestin tidak menumpahkan setitik darah malahan puak Yahudi diberi kebebasan sebebas-bebasnya.
Berbagai-bagai penindasan yang dilakukan oleh puak Yahudi yang secara terang lagi bersuluh mahu menghalau terus penduduk Palestin dari tanah air mereka agar perluasan tanah yahudi dapat dilakukan. Penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin telah berlaku dalam tempoh yang amat panjang dan berlarutan. Banyak sebab mereka bangkit menentang kezaliman Yahudi Zionis. Di antara sebab-sebab penentangan Palestin termasuklah polisi zalim rejim Zionis di situ. Yahudi meruntuhkan rumah-rumah mereka, melakukan penangkapan dan pengusiran orang-orang Palestin yang tidak bersalah dari bumi Palestin serta tindakan memperluaskan kawasan pendatang haram Yahudi.Peningkatan serangan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh ekstremis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian kiblat pertama umat Islam di dalam rangka mereka meyahudikan Baitulmaqdis. Lorong-lorong rahsia di bawah masjid al-Aqsa juga digali dengan alasan mahu mencari tinggalan kuil sulaiman. Ini menimbulkan kemarahan umat islam yang bimbang dengan kerja-kerja penggalian yang dijalankan mampu merosakkan struktur majlis yang suci itu.
Sekatan ekonomi yang dirancang secara rapi oleh Zionis menyebabkan orang-orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai di kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan. Gaji sejam purata bagi seorang Yahudi adalah 33 peratus lebih tinggi daripada gaji seorang Arab. Kebanyakan kampung Palestin tidak mempunyai bekalan air atau elektrik, dan rakyat Palestin dikecualikan daripada kebanyakan pekerjaan. Sebahagian besar daripada pihak Zionis melihat rakyat Palestin dan Arab sebagai makhluk yang lebih lemah. Menachem Begin, perdana menteri Yahudi pada tahun 1980-an, pernah menghuraikan rakyat Palestin sebagai “binatang berkaki dua.
Ramai di kalangan kanak-kanak palestin yang telah dinafikan hak mereka untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah adalah dari peratusan yang sangat kecil. Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 km di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana . ‘Tembok Besar Berlin’ ini seolah-olah mahu memenjarakan penduduk palestin yang tidak bersalah. Rakyat Palestin merasa begitu terdesak dan tidak lagi meletakkan harapan kepada usaha dan perjanjian damai yang diatur oleh negara-negara Arab. Ini kerana perjanjian demi perjanjian yang dilakukan tidak mendatangkan hasil. Nyata rakyat palestin telah berputus asa dengan Negara arab.Bahkan mereka merasakan betapa perlunya satu inisiatif dilaksanakan sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Sedarlah rakan-rakan bahawa penindasan ini merupakan penindasan hak rakyat palestin secara menyeluruh. Saya pasti mana-mana agama mahupun sesiapa sahaja yang faham dengan konsep hak individu terhadap tanah air mereka pasti mengutuk keras tindakan kebinatangan ini.
Rakan-rakan sekalian. Ada yang mempertikaikan masyarakat Palestin juga turut melakukan serangan pengeboman terhadap Israel termasuk pengeboman berani mati. Tetapi mereka melakukannya kerana terdesak dan sudah tidak tahan ditindas dan dirampas hak mereka. Kebanyakan dari mereka hanya mampu berjuang menentang Yahudi dengan batu-batu sedangkan puak Yahudi lengkap berkereta kebal, helikopter dan tentera mereka mempunyai kelengkapan yang canggih. Kerana tentera mereka lebih lengkap dan majulah beberapa siri penyembelihan rakyat Palestin sering berlaku. Antaranya penyembelihan Sabra dan Shatila pada 1982 yang mengorbankan sebanyak 700-800 orang Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila. Tentera Yahudi membunuh sekurang-kurangnya 300 penduduk Palestin di Deir Yassin pada bulan April 1948. Kumpulan-kumpulan bersenjata menggunakan pembunuhan ini untuk memaksa beribu-ribu rakyat Palestin yang lain untuk melarikan diri dari rumah-rumah mereka. Peristiwa di kem pelarian Nablus juga melihatkan 512 orang rakyat palestin terbunuh dan 3,104 tercedera berikutan penyembelihan yang dilakukan oleh tentera Yahudi. Berbagai-bagai penyembelihan terhadap orang awam yang tidak berdosa telah dilakukan oleh puak Yahudi dengan alasan mahu membalas dendam di atas serangan balas pejuang pembebasan Palestin. Sedangkan tujuan utama mereka adalah semata-mata mahu menghalau rakyat Palestin dari kem pelarian dan rumah mereka agar perluasan tanah mereka dapat dilakukan.
Di atas dasar perikemanusiaanlah berpuluh-puluh badan bukan kerajaan ditubuhkan bagi membantu masyarakat Palestin di serata dunia. Antara badan bukan kerajaan yang ditubuhkan di Malaysia bagi membantu masyarakat palestin adalah Aman Palestin Malaysia. Badan ini berfungsi bagi mengutip dana dan menyalurkannya kepada pihak palestin. Selaras dengan mendokong agenda kemanusiaan sejagat, Kelab Umno Korea melalui Biro Politik dan Hubungan Antarabangsanya telah menganjurkan program Aman Palestin di Korea Selatan. Mereka telah menjemput penceramah dari Aman Palestin Malaysia untuk menerangkan tentang keadaan sebenar di palestin lantas memberikan info dan maklumat yang tepat kepada para pelajar di sini. Kedatangan ustad Sobri Awang telah sedikit sebanyak membuka minda dan mata para pelajar di korea selatan ini tentang masalah sebenar yang melanda Negara Palestin.
Persoalannya. Apakah tugas kita sebagai seorang pelajar? Apakah yang mampu kita lakukan selaku seorang pelajar yang terbatas dari segi waktu, kewangan dan sebagainya. Pertama-tamanya saya menyeru kepada semua agar membuka minda dan melapangkan dada untuk memahami masalah masyarakat Palestin dari semua aspek tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak. Sesuatu kejadian yang berlaku hendaklah diteliti, difahami sebab dan akibatnya dengan adil tanpa berpihak kepada bias kepada sesuatu pihak sahaja. Kita juga mempunyai kemampuan untuk membaca dan menjustifikasi segala rentetan peristiwa dan masalah yang melanda masyarakat palestin khususnya. Perbincangan secara ilmiah bolehlah dilakukan dikalangan kita dan janganlah berdebat menggunakan emosi semata-mata tetapi sertakanlah ia dengan kebijaksanaan kita selaku seorang pelajar tajaan di luar negara.
Bagi yang ingin melibatkan diri dengan lebih mendalam lagi, anda boleh menyertai pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar di negara kita yang berkaitan dengan Palestin. Anda bolehlah menyumbangkan segala keringat dan buah fikiran di dalam membantu masyarakat palestin yang dilihat sering tertindas dan dinafikan hak mereka amnya. Persatuan pelajar di sini juga bolehlah mengorak langkah untuk lebih mengglobalkan pemikiran ahlinya dengan mendedahkan kepada mereka dengan isu-isu antarabangsa seperti ini. Apa gunanya menjadi graduan di Negara asing andainya takut membuka minda, meluaskan mata dan menglokal diri? Fikir-fikirkanlah
alhaldulillah kerana masih ada Muslimin yang sentiasa concern dengan masalah agama dan teman seagama sendiri.
sebagai info tambahan, boleh rujuk halaman ini untuk info lanjut mengenai tragedi pembunuhan di Deir Yassin :
http://www.ismaweb.net/ISMA/Article582.phtml
"Orang-orang Yahudi dan orang-orang munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya): Permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka)." [al-Hasyr, 14]
Salah satu persoalan yang akan ditanya 'kelak' ialah apa yang telah kita lakukan terhadap saudara seIslam kita. InsyaAllah, semoga dipermudahkan.