Memandangkan blog ini sudah mula berhabuk dan bersawang, maka aku kongsikan sedikit tips pengurusan stress yang aku ambil daripada blog aku sendiri, CoReTaN PeNa BiRu.
Stress merupakan suatu respon terhadap minda yang berupa tekanan yang disebabkan oleh pelbagai faktor sama ada luaran mahupun dalaman. Contoh faktor luaran adalah seperti bebanan kerja, pinjaman bank yang tertunggak, peperiksaan dan juga persekitaran sekeliling. Faktor dalaman pula merangkumi perkara yang timbul daripada fikiran diri sendiri. Contohnya memikirkan secara serius tentang kekurangan diri, tidak percaya pada kebolehan diri dan sebagainya. Perkara-perkara seperti inilah yang biasanya mengakibatkan stress.
Awas! Jika stress ini gagal diuruskan dengan baik, ia mampu memudaratkan diri. Kes-kes seperti histeria, kemurungan dan yang lebih teruk, bunuh diri boleh terjadi seandainya individu terbabit gagal mengawal stress yang di alaminya. Coretan kali ini penulis ingin berkongsi serba sedikit teknik-teknik yang mampu untuk mengurangkan stress:
1. Nikmati Keindahan Alam
Seandainya anda seorang yang terlalu sibuk bekerja atau pun belajar, luangkan sedikit masa untuk menghayati keindahan alam ciptaan Ilahi. Pergilah berkelah bersama keluarga atau pun rakan-rakan di tempat-tempat yang bebas dari kesibukan kota dan kerja. Berkelah di taman rekreasi, air terjun, pantai dan sebagainya mampu menenangkan jiwa yang sedang kuat dirundung masalah. Deruan air yang mengalir, desiran ombak menghempas ke pantai dan nyanyian unggas-unggas sememangnya mendamaikan jiwa.
2. Tidur Sejenak
Tidur sejenak dalam lingkungan masa 30-45 minit mampu menyegarkan tubuh dan minda untuk kembali bekerja. Gunakan sebahagian waktu rehat anda untuk melelapkan mata buat seketika agar tubuh kembali segar apabila kembali bekerja. Jangan terlalu memaksa diri jika tahu bahawa anda sememangnya kepenatan. Tidurlah sejenak kerana sesungguhnya ia tidak membazirkan masa anda bahkan memberi pulangan kualiti kerja yang lebih baik apabila anda terjaga nanti.
3. Kerap Ketawa
Tidak perlu disangkal lagi ketawa mampu mengurangkan stress yang membelenggu diri. Luangkan masa seketika bersenda gurau bersama rakan sekerja mahupun teman belajar seandainya anda berasa tertekan. Ketawa mampu meregangkan otot-otot di muka dan melupakan seketika masalah yang melanda. Namun, awas! Jangan terlalu banyak ketawa kerana segala hafalan anda boleh hilang entah ke mana.
4. Realistik
Jangan terlalu meletakkan satu bebanan yang terlalu tinggi pada diri. Tidak salah untuk mensasarkan sesuatu yang tinggi untuk memotivasikan diri tetapi jangan sampai sasaran yang dibuat terlalu tinggi untuk digapai sehingga memakan diri. Jadilah seorang yang realistik dengan meletakkan tahap-tahap tertentu untuk dicapai. Lebih baik mencapai sasaran sedikit demi sedikit berbanding meletakkan sasaran yang terlalu tinggi dan akhirnya entah ke mana.
5. Positifkan Pemikiran
Muhasabah diri sendiri dan teliti kembali apa kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri. Setiap kelebihan yang ada digilap agar potensi diri dapat ditonjolkan. Jangan jadikan kelemahan diri sebagai sebab untuk bersedih. Kenal pasti kelemahan dan atasilah dengan bijak. Lebih baik jika kelemahan yang ada dimanipulasi sehingga menjadi kekuatan pada diri.
6. Bersukan
Pepatah ada mengatakan minda yang cerdas lahir dari badan yang cergas. Maka, turunlah bersukan. Jangan suka memerapkan diri didalam bilik dihadapan komputer, nota dan sebagainya. Menyepak bola contohnya, mampu untuk mengalihkan tekanan yang dialami kepada suatu objek dengan sihat. Bukannya dengan cara melakukan vandalisme, memukul dan sebagainya. Jika tiada rakan untuk bermain, cukuplah sekadar berjoging di sekitar taman untuk mengeluarkan peluh.
7. Alunan Muzik
Muzik-muzik yang bersifat sentimental dan lembut berupaya memberi ketenangan kepada minda. Dengarlah lagu-lagu yang memberi ketenangan seperti muzik mohram, kitaro, nasyid, balada, klasik dan sebagainya. Elakkan mendengar muzik-muzik yang keras seperti heavy metal, punk dan sebagainya kerana ia bukannya menenangkan tetapi sebaliknya merosakkan jiwa.
8. Ekspresi Dirimu
Sesetengah individu tidak berupaya menangani masalahnya sendiri. Individu ini biasanya memerlukan sesorang untuk mendengar segala luahan hatinya. Bukan respon yang diperlukan tetapi hanya sebagai teman untuk mendengar masalah dirinya. Andai anda tergolong di dalam golongan seperti ini, carilah rakan yang benar-benar anda percayai untuk mendengar masalah anda. Sekiranya tiada, gunalah khidmat kaunselor untuk membantu anda.
p/s: Jika anda mempunyai cara tersendiri untuk mengurangkan stress, tinggalkan komen anda untuk dikongsi bersama-sama dengan para pembaca yang lain.
Labels: Tips
1 Comment:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
basoh bilik air, x pon sapu rumah..
best giler!