86 pelajar SMS Seremban keracunan makanan
SEREMBAN 16 Jun –Seramai 86 pelajar Sekolah Menengah Sains Seremban di sini dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban malam tadi selepas mengadu sakit perut dan muntah-muntah dipercayai akibat keracunan makanan.
Difahamkan mereka mula dikejarkan ke hospital itu oleh pihak pengurusan sekolah itu secara berperingkat-peringkat mulai kira-kira pukul 8 malam dan dibenarkan pulang beberapa jam kemudian selepas mendapat rawatan pesakit luar.
Bagaimanapun dua daripada mereka ditahan di wad hospital itu untuk rawatan lanjut.
Pengarah Pelajaran Negeri, Abdullah Mohammad berkata Jabatan Kesihatan kini sedang mengenalpasti punca kejadian itu, sama ada ianya berpunca daripada makanan di kantin atau dewan makan.
Katanya Jabatan Kesihatan telah mengambil sampel makanan untuk dianalisis.— BERNAMA.
SEREMBAN: Kuetiau dipercayai punca 80 pelajar Sekolah Menengah Sains Seremban (Saser) di sini, terpaksa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban selepas mengadu sakit perut dan muntah, malam kelmarin.
Makanan itu dimakan pelajar terbabit di dewan makan sekolah itu, bagaimanapun setakat ini punca sebenar kejadian belum dipastikan.
Guru kelas menyedari kejadian itu segera membawa pelajar ke ke HTJ untuk rawatan.
Kejadian berlaku sejak pagi Khamis lalu apabila seorang daripada mereka mengadu sakit perut dan muntah, bagaimana sehingga malam kelmarin, 79 lagi pelajar sekolah itu turut mengalami keadaan yang sama juga dihantar ke HTJ.
Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Abdullah Mohamad, berkata , hanya dua pelajar ditahan di wad HTJ sejak malam kelmarin, manakala yang lain dibenar pulang.
Beliau berkata, semua mangsa diberi rawatan kecemasan sebaik tiba di HTJ dan sebahagian besar dibenarkan pulang selepas.
“Kebanyakan pelajar disyaki keracunan makanan itu mengadu sakit perut, loya, pening selain hendak muntah sejurus mengambil makanan dari dewan makan, bagaimanapun sebahagian pelajar lain membeli makanan dari kantin.
“Setakat ini kami belum kenal pasti punca kejadian, bagaimanapun saya ada dimaklumkan pihak sekolah mengenai pelajar memakan kuetiau dari dewan makan, namun tidak ketahui sama ada makanan itu punca sebenar keracunan itu.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) sudah mula menjalankan siasatan termasuk memeriksa keadaan dewan makan dan kantin sekolah itu selain mengambil sampel makanan untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, dewan makan sekolah itu sudah diarah menutupkan operasi selama dua minggu berkuatkuasa serta merta bagaimanapun kantin masih dibenarkan meneruskan operasi dengan keadaannya dipantau pihak sekolah serta JKNS.
-MyMetro-