Entri ini dibahagikan kepada Bahagian 1 dan Bahagian 2.
Jenis-Jenis Bedah Siasat
Tidak ramai yang tahu bahawa bedah siasat (autopsi) terbahagi kepada 2 jenis:-
- klinikal / patologikal autopsi; dan
- forensik autopsi
Klinikal Autopsi
Klinikal autopsi dilakukan bila seseorang mati di hospital disebabkan penyakit yang dihidapi. Tujuannya ialah untuk mengkaji mekanisma bagaimana penyakit yang dihidapi itu menyebabkan kematian supaya pesakit yang akan datang boleh mendapat rawatan yang lebih baik di samping mengurangkan kadar kematian di kalangan penghidap penyakit tersebut. Klinikal autopsi hanya akan dijalankan setelah mendapat kebenaran daripada waris si mati. Bedah siasat juga hanya melibatkan sistem badan yang terkesan oleh penyakit tersebut. Contohnya, jika pesakit jantung mati, maka bedah siasat tertumpu di kawasan jantung sahaja tanpa mengganggu bahagian badan yang lain. Sebarang penemuan semasa bedah siasat ini adalah “sulit”, dan tidak akan didedahkan kepada umum.
Forensik Autopsi
Berbeza dengan klinikal autopsi, forensik autopsi dilakukan atas arahan pihak polis atau majistret. Tujuan forensik autopsi dijalankan ialah untuk mencari sebab-sebab dan punca kematian. Penemuan dalam forensik autopsi ini adalah terdedah kepada umum sebab penemuan-penemuan tersebut akan dibentangkan di hadapan mahkamah oleh doktor yang melakukan autopsi tersebut. Penemuan tersebut amat penting terutamanya dalam kes pembunuhan yang mana penemuan semasa bedah siasat dapat mengesahkan salah laku seorang penjenayah. Seperti yang diketahui umum, forensik autopsi dilakukan apabila berlaku kematian yang meragukan, tidak disangka, dan dalam keadaan yang tidak natural (abnormal, unnatural, unexpected death). Prosedur ini juga tidak memerlukan kebenaran ahli keluarga si mati kerana mahkamah menjadi waris yang sah di sisi undang-undang dalam kes kematian yang tidak disangka (pembunuhan, kemalangan, keracunan, dsb.)
Seperti yang anda tahu, kematian boleh berlaku disebabkan:-
- Pembunuhan (homicidal)
- Kemalangan (accidental)
- Bunuh diri (suicidal)
Prosedur Forensik Autopsi
- Pemeriksaan luaran; dan
- Pemeriksaan dalaman
Pemeriksaan Luaran
Pemeriksaan luaran termasuklah mengenalpasti jantina, umur, bangsa / kaum dan binaan badan si mati sama ada kurus, sedang-sedang, gempal, dsb. Selain itu, warna rambut, warna mata, pakaian si mati dan tatu turut dikenalpasti, termasuklah memeriksa sendi jika ada sendi yang patah. Sebarang kecederaan luaran juga direkodkan dengan teliti.
Pemeriksaan Dalaman
Kemudian, potongan dibuat di kepala, bermula dari kawasan belakang telinga naik ke atas sehinggalah ke belakang telinga yang sebelah lagi. Kulit kepala yang telah terpotong 2 akan dilipat ke hadapan dan ke belakang masing-masing supaya tempurung kepala kelihatan. Dengan menggunakan gergaji getar, tempurung kepala dibuka dan otak dikeluarkan. Otak diperiksa untuk mengenalpasti sebarang kecederaan atau pendarahan dalaman.
Labels: MSMC
1 Comment:
-
- Anonymous said...
January 17, 2009 at 2:55 PMthank you so much. information given is very helpful. may Allah bless u!